Isnin, November 02, 2009

Tahniah Badminton Malaysia..

Kejohanan Badminton Remaja Dunia yang berlangsung di Alor Setar, telah melabuhkan tirainya. Semua telah sedia maklum, pencapaian pemain remaja negara didalam kejohanan tersebut. Tidak dinafikan, jika terus digilap, mereka ini bakal menjadi pemain pelapis yang akan meneruskan sinaran sukan badminton negara. Bukanlah seorang pengulas sukan badminton yang arif tentang prestasi pemain, sebaliknya atas dasar seorang peminat sukan tersebut mendesak saya meluahkan pendapat terhadap kejohanan tersebut secara umum.

Walaupun terlepas pusingan pertama sepanjang kejohanan tersebut akibat kekangan kerja seharian, tidak mematahkan semangat saya untuk terus memberi sokongan kepada pasukan negara ketika pertandingan masuk ke peringkat separuh akhir. Bertemankan anak yang baru mencecah 5 tahun, saya meluangkan hujung minggu saya di Stadium Sultan Abdul Halim, menyaksikan kehebatan pelapis – pelapis badminton beraksi. Harga tiket bernilai RM30 yang boleh digunakan bermula pusingan pertama sehingga ke peringkat akhir, dilihat amat berpatutan bagi mereka yang mengikuti pertandingan ini dari pusingan pertama. Namun, bagi mereka yang cuma datang menyaksikan pertandingan akhir kejohanan tersebut, bayaran sebanyak itu dikira agak mahal. Rasanya, sekiranya pihak pengajur turut menjual tiket secara harian, pastinya lebih ramai yang akan datang memberi sokongan kepada pasukan negara disaat mereka berhempas pulas mengharumkan nama Malaysia. Bukanlah tidak menyokong penjualan satu tiket untuk sepanjang kejohanan, tetapi pihak penganjur perlu memberi lebih pilihan kepada penonton. Pihak penganjur boleh menjual satu tiket RM30 untuk digunakan sepanjang 5 hari kejohanan, disamping menjual tiket harian bernilai RM10 sehari. Jadi, penonton ada pilihan dan dapat membuat penilaian yang mana terbaik bergantung kepada budget ‘poket’ masing – masing.

Antara perkara yang menarik minat saya sepanjang 2 hari menyaksikan kejohanan tersebut ialah gelagat penonton. Kibaran bendera dan sorakan penuh semangat menghangatkan suasana stadium tertutup tersebut. Cuma ada sedikit kekesalan dihati saya, kehadiran penonton agak menyedihkan. Mujurlah penonton yang hadir semuanya bersuara lantang, lantas kuantiti yang sedikit tidak langsung mencacatkan kualiti sorakan. Difahamkan, hari yang sama pertandingan peringkat separuh akhir kejohanan diadakan, turut berlangsung Karnival Sua Rasa di perkarangan Stadium Darulaman. Pada tafsiran saya, mungkin ramai anak muda, terutamanya Melayu lebih gemar meluangkan masa mereka dikarnival – karnival seperti itu berbanding menyemarakkan semangat kesukanan dihati mereka. Secara peribadi, saya berbangga dengan penonton yang datang, tak kira bangsa, bersorak untuk pasukan yang sama. Malah, ada sekumpulan penyokong Malaysia yang terdiri daripada kanak-kanak belasan tahun, tak henti - henti mengibarkan bendera dan bersorak. Anak perempuan saya yang berusia 5 tahun yang teruja dengan gelagat mereka, turut bersorak sakan. Bayangkan apabila seorang anak yang belum tahu cara bermain badminton, menjerit dan bersorak ‘ Malaysia Boleh ‘ dan ‘ Iskandar Boleh ‘ dalam usaha menyatakan sokongannya kepada pasukan dan pemain negara, hati ibu mana yang tidak merasa bangga. Harapan saya pastinya, semangat seperti itu akan terus kekal didalam dirinya dan juga kanak – kanak lain yang cintakan semangat kesukanan.

Namun, disebalik kegirangan itu, ada terpalit rasa kesal yang amat sangat dengan sikap sesetengah penonton yang mula mengeluarkan kata – kata kasar apabila pemain negara mula menunjukkan tanda – tanda kekalahan. Tidak sepatutnya kata – kata kasar itu dilemparkan kerana bagi saya, pemain negara telahpun menunjukkan prestasi cemerlang mereka dan mereka tidak mengaku kalah sehinggalah ke mata yang terakhir. Lainlah kalau yang mengeluarkan kata – kata pedih itu adalah jurulatih mereka sendiri. Jika ditanya balik kepada diri masing – masing, mampukah kita bermain seperti mereka? Jika terlampau pandai mengkritik itu dan ini, apa kata masing – masing ambil raket dan cuba bermain seperti mereka. Bukan mudah jalan yang pemain – pemain negara ini terpaksa lalui untuk berada ditempat mereka hari ini. Ketika pertandingan akhir perseorangan lelaki yang menyaksikan pemain negara tumpas kepada pemain dari Negara China, sepatutnya penyokong perlu terus memberi kata – kata semangat kepada beliau, kerana kalau kita sebagai penonton rasa kecewa, bayangkan perasaan pemain tersebut. Saya tidak pasti sama ada penonton sedar atau tidak, tetapi kekecewaan amat jelas terpancar diwajah Iskandar Zulkarnain sejurus selepas beliau tewas. Jadi, rasanya tidak perlu lagi kita sebagai peminat badminton menambah kekecewaannya dengan mengeluarkan kata – kata yang tidak sepatutnya. Sama juga ketika pemain beregu lelaki kita ketinggalan pada mata 17-20 kepada pemain Indonesia dipusingan penentu, ramai penonton dilihat mula bangun dan meninggalkan stadium. Konon – kononnya kerana kecewa dan tiada harapan, sedangkan pemain masih lagi berhempas pulas digelanggang. Saya pasti, sesiapa pun yang meninggalkan stadium ketika itu pastinya menyesal dan rugi kerana perlawanan tersebut antara perlawanan yang menyaksikan kesudahan yang paling menarik untuk ditonton. Mentaliti penyokong sebeginilah yang perlu diubah. Sekiranya kita sayangkan sukan tersebut, kita perlu terus menyokong pemain tanpa perlu ada rasa kecewa kerana selain daripada kekuatan fizikal, pemain turut memerlukan kekuatan mental dan spiritual yang sebahagiannya datang dari penyokong dan penonton.

Tidak dinafikan, daripada aspek mutu permainan, banyak perkara perlu diperbaiki di masa hadapan. Namun, siapalah saya untuk memberi kritikan dan teguran melampau. Adalah menjadi tanggungjawab jurulatih dan pemain itu sendiri untuk mencari kelemahan masing – masing dan memperbaikinya, kerana mereka lebih tahu dimana kelemahan mereka. Walaupun masih diperingkat remaja dan pelapis, namun pemain dan jurulatih perlu memastikan prestasi cemerlang terus kekal dalam usaha negara melahirkan lebih ramai pemain badminton bertaraf dunia. Sampai bila kita perlu terus meletakkan sandaran dan tanggungjawab berat kepada Datuk Lee Chong Wei? Sudah sampai masanya kita meletakkan barisan hadapan yang baru, muda dan bersemangat untuk meneruskan perjuangan senior – senior mereka. Kita pernah digeruni dalam sukan badminton, malah sehingga kini kita ditakuti pihak lawan. Dengan lahirnya pelapis – pelapis ini, diharapkan agar kita terus menjadi negara yang digeruni dan dihormati pihak lawan di masa hadapan.

Kepada barisan pemain pelapis badminton Negara sekalung tahniah saya ucapkan diatas pencapaian yang membanggakan. Semoga semangat anda semua tidak luntur malah terus bangun dan berusaha memberikan yang terbaik untuk Malaysia yang tercinta. Teruskan prestasi cemerlang dan tingkatkan usaha agar kecemerlangan itu dapat dikekalkan. Jadikan setiap teguran, cemuhan dan kekalahan sebagai satu pelajaran yang amat berguna yang perlu dijadikan iktibar. Jangan mudah melatah apabila diulit kejayaan kerana kelalaian itulah yang akan menjatuhkan anda satu hari nanti. Harapan saya, biarlah nama Malaysia yang telah sedia terukir dimata dunia, akan terus menyinar.. Majulah badminton untuk Malaysia.

AMYJAY
Alor Setar, Kedah


p/s: Rencana ini telah dihantar ke akhbar Utusan Malysia pada 03.11.2009..